SIKAP GURU PELATIH TERHADAP
PENGAJARAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS
Sila klik sini untuk pautan artikel (muka surat 1 hingga 13)
Pada tahun 2003, sistem pendidikan Negara kita telah mengalami satu anjakan paradigma dengan pengumuman dasar PPSMI iaitu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, faktor terpenting yang menentukan kejayaan sesuatu inovasi pendidikan ialah guru atau pendidik.
Guru ialah pelaksana pendidikan yang merancang, mengajar dan menilai pengajaran dan pembelajaran. Memandangkan peranan guru terhadap reformasi dan inovasi pendidikan adalah begitu tinggi, maka tentunya program pendidikan guru perlu dikemas kini supaya selaras dengan perubahan pesat dalam sistem pendidikan negara.
Antara empat permasalahan utama yang mungkin dihadapi oleh guru-guru tersebut ialah memahami serta menggunakan istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, menggunakan kosa kata Bahasa Inggeris, membentuk ayat untuk bertutur atau menulis dalam bahasa Inggeris serta dapat menyebut perkataan dengan betul.
Sehubungan itu, perbezaan keseluruhan aspek sikap antara kumpulan major Matematik dan minor Matematik terhadap pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris, secara keseluruhannya didapati sikap guru pelatih terhadap pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris adalah positif. Namun, sikap guru pelatih terhadap konsep kendiri terhadap sifat Matematik adalah pada tahap negatif. Jika dibandingkan sikap guru pelatih terhadap pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris berdasarkan pengkhususan, maka didapati bahawa guru pelatih berpengkhususan Matematik (major) bersikap lebih positif berbanding dengan guru pelatih yang mengambil Matematik sebagai mata pelajaran elektif (minor). Antara faktor penyebab permasalahan ini sentiasa berlaku kerana Matematik merupakan mata pelajaran elektif bagi kumpulan yang bukan berpengkhususan Matematik dan telah menjadi faktor yang menyebabkan mereka bersikap kurang positif berbanding dengan guru pelatih berpengkhususan Matematik. Justeru, mata pelajaran Matematik dianggap sebagai mata pelajaran sampingan sahaja dan tidak perlu diambil perhatian utama kerana lebih menumpukan mata pelajaran utama mengikut pengkhususan masing-masing.
Oleh itu, pihak Kementerian Pendidikan hendaklah sentiasa memberi perhatian dan membuat pemantauan terhadap keberkesanan pelaksanaan pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris di Maktab Perguruan dan semua sekolah. Pihak maktab perguruan hendaklah mengadakan kursus-kursus EteMs, Immersion Course, merancangkan program, bengkel, seminar untuk mendedahkan guru pelatih kepada konsep, pengetahuan, kemahiran pedagogi dan terminologi Matematik dalam Bahasa Inggeris supaya dapat menanamkan sikap positif terhadap pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih terutamanya guru pelatih berpengkhususan Matematik demi meningkatkan penguasaan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih.
Pensyarah Matematik maktab perguruan perlu mengeksploitasi dan meningkatkan lagi sikap positif guru pelatih terhadap Matematik terutamanya dari segi kepentingan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut