Wednesday, 30 May 2012

Ulasan Artikel 6


KEBERKESANAN PELAKSANAAN 

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 

MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS 

DI SEKOLAH LUAR BANDAR


Sila klik sini untuk pautan artikel

Kajian adalah mengenai keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah luar bandar. Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.
Perubahan kurikulum Matematik dibuat selaras dengan perkembangan negara. Sekiranya bidang pendidikan tidak selari dengan kemajuan Sains dan Teknologi, maka adalah mustahil untuk sesebuah negara itu berkembang ke arah lebih maju berikutan daripada kurangnya tenaga mahir di dalam bidang-bidang tertentu yang diperlukan dan diharapkan agar dasar ini memberikan kelebihan kompetitif kepada negara-negara yang lebih pesat membangun.
Bagi murid yang memiliki kemahiran di dalam mata pelajaran Matematik tetapi bermasalah untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris, pelaksanaan PPSMI ternyata membebankan mereka.
Seperti yang kita tahu, tidak semua murid mampu untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik terutamanya bagi murid luar bandar di mana penggunaan Bahasa Inggeris di dalam kehidupan harian
amatlah kurang jika dibandingkan dengan murid yang tinggal di kawasan bandar. Kekangan bahasa ini menjejaskan prestasi mereka yang berminat untuk turut sama cemerlang di dalam mata pelajaran Matematik. Masalah bahasa merupakan satu masalah yang serius kerana penentu kepada sampainya sesuatu maklumat itu bergantung kepada kelancaran bahasa yang digunakan oleh penyampai dan penerima.
Masalah bahasa merupakan satu bebanan yang terpaksa dihadapi oleh murid apabila pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di dalam bahasa Inggeris. Matematik merupakan satu mata pelajaran yang memerlukan pemahaman konsep yang jelas, maka adalah amat penting untuk murid menerima segala tunjuk ajar tanpa sebarang masalah bahasa. Guru merupakan sumber ilmu pengetahuan bagi murid. Kecekapan dalam berbahasa penting supaya matlamat yang ingin disampaikan berjaya diterima oleh para murid. Kebergantungan murid terhadap guru di peringkat sekolah adalah amat tinggi memandangkan guru merupakan sumber pengetahuan utama mereka. Penggunaan bahasa Inggeris murid, penggunaan bahasa Inggeris guru dan penggunaan kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah dapat membantu meningkatkan kefahaman murid terhadap Matematik. Murid luar bandar masih lagi lemah dalam penggunaan bahasa Inggeris dan tidak mampu menggunakan bahasa Inggeris di dalam kehiduapan seharian berikutan daripada kekurangan pendedahan terhadap penggunaan bahasa Inggeris lantaran tidak berminat untuk belajar Matematik dalam bahasa Inggeris berikutan daripada kesukaran untuk memahami istilah-istilah tertentu yang digunakan oleh guru.
Guru Matematik menggunakan bahasa Inggeris dengan baik kerana guru tidak menghadapi masalah untuk mengajar dan bertutur dengan baik di dalam bahasa Inggeris. Guru mampu menyediakan diri dengan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik. Penggunaan kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah tidak begitu digunakan oleh para guru dan murid. Penggunaan kemudahan buku teks sahaja yang mendapat sambutan di kalangan guru dan murid untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran Matematik. Masalah masa dan bahasa membataskan penggunaan kemudahan tersebut. Penggunaan courseware yang menggunakan bahasa Inggeris membuatkan murid tidak berminat dan hilang tumpuan kerana mereka tidak dapat memahami bahasa yang digunakan.

No comments:

Post a Comment