Wednesday 30 May 2012

Projek School-Based

Ulasan Artikel 6


KEBERKESANAN PELAKSANAAN 

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 

MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS 

DI SEKOLAH LUAR BANDAR


Sila klik sini untuk pautan artikel

Kajian adalah mengenai keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah luar bandar. Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.
Perubahan kurikulum Matematik dibuat selaras dengan perkembangan negara. Sekiranya bidang pendidikan tidak selari dengan kemajuan Sains dan Teknologi, maka adalah mustahil untuk sesebuah negara itu berkembang ke arah lebih maju berikutan daripada kurangnya tenaga mahir di dalam bidang-bidang tertentu yang diperlukan dan diharapkan agar dasar ini memberikan kelebihan kompetitif kepada negara-negara yang lebih pesat membangun.
Bagi murid yang memiliki kemahiran di dalam mata pelajaran Matematik tetapi bermasalah untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris, pelaksanaan PPSMI ternyata membebankan mereka.
Seperti yang kita tahu, tidak semua murid mampu untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik terutamanya bagi murid luar bandar di mana penggunaan Bahasa Inggeris di dalam kehidupan harian
amatlah kurang jika dibandingkan dengan murid yang tinggal di kawasan bandar. Kekangan bahasa ini menjejaskan prestasi mereka yang berminat untuk turut sama cemerlang di dalam mata pelajaran Matematik. Masalah bahasa merupakan satu masalah yang serius kerana penentu kepada sampainya sesuatu maklumat itu bergantung kepada kelancaran bahasa yang digunakan oleh penyampai dan penerima.
Masalah bahasa merupakan satu bebanan yang terpaksa dihadapi oleh murid apabila pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di dalam bahasa Inggeris. Matematik merupakan satu mata pelajaran yang memerlukan pemahaman konsep yang jelas, maka adalah amat penting untuk murid menerima segala tunjuk ajar tanpa sebarang masalah bahasa. Guru merupakan sumber ilmu pengetahuan bagi murid. Kecekapan dalam berbahasa penting supaya matlamat yang ingin disampaikan berjaya diterima oleh para murid. Kebergantungan murid terhadap guru di peringkat sekolah adalah amat tinggi memandangkan guru merupakan sumber pengetahuan utama mereka. Penggunaan bahasa Inggeris murid, penggunaan bahasa Inggeris guru dan penggunaan kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah dapat membantu meningkatkan kefahaman murid terhadap Matematik. Murid luar bandar masih lagi lemah dalam penggunaan bahasa Inggeris dan tidak mampu menggunakan bahasa Inggeris di dalam kehiduapan seharian berikutan daripada kekurangan pendedahan terhadap penggunaan bahasa Inggeris lantaran tidak berminat untuk belajar Matematik dalam bahasa Inggeris berikutan daripada kesukaran untuk memahami istilah-istilah tertentu yang digunakan oleh guru.
Guru Matematik menggunakan bahasa Inggeris dengan baik kerana guru tidak menghadapi masalah untuk mengajar dan bertutur dengan baik di dalam bahasa Inggeris. Guru mampu menyediakan diri dengan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik. Penggunaan kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah tidak begitu digunakan oleh para guru dan murid. Penggunaan kemudahan buku teks sahaja yang mendapat sambutan di kalangan guru dan murid untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran Matematik. Masalah masa dan bahasa membataskan penggunaan kemudahan tersebut. Penggunaan courseware yang menggunakan bahasa Inggeris membuatkan murid tidak berminat dan hilang tumpuan kerana mereka tidak dapat memahami bahasa yang digunakan.

Ulasan Artikel 5


HUBUNGAN PERSEPSI KEBERKESANAN

GURU DAN KEPIMPINAN PENGAJARAN PENGETUA


Sila klik sini untuk pautan artikel (muka surat 79 hingga 90)

Kajian menunjukkan terdapat perbezaan keberkesanan guru yang signifikan antara guru-guru dari sekolah yang berbeza pencapaian akademik iaitu guru-guru Sekolah Kategori Pencapaian Cemerlang mempunyai keberkesanan guru paling tinggi diikuti guru-guru Sekolah Pencapaian Sederhana dan Memuaskan. Selain itu, kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan persepsi keberkesanan guru dari guru-guru yang mengajar di sekolah yang berbeza pencapaian akademiknya. Sekolah yang mempunyai pencapaian akademik yang tinggi mempunyai guru-guru yang mempunyai persepsi keberkesanan diri yang lebih berbanding guru-guru sekolah pencapaian memuaskan dan sederhana.
Pengetua perlu berfungsi secara berkesan sebagai pemimpin pengajaran dan guru-guru pula perlu mengamalkan pengajaran berkesan untuk mewujudkan kecemerlangan akademik pelajar. Sehubungan itu, tidak terdapat perbezaan peranan pengetua dalam empat dimensi tingkah laku kepimpinan pengajaran pengetua antara pengetua-pengetua sekolah kategori pencapaian cemerlang, memuaskan dan sederhana. Namun begitu antara keempat-empat dimensi tingkah laku kepimpinan pengajaran pengetua didapati guru-guru memberi persepsi yang rendah tentang peranan pengetua dalam penggunaan sumber pengajaran.
Selain itu, keberkesanan guru menunjukkan guru-guru sekolah pencapaian cemerlang mempunyai amalan keberkesanan guru yang tinggi. Namun begitu, bagi sekolah kategori pencapaian memuaskan didapati guru-gurunya mempunyai amalan keberkesanan guru yang rendah. Oleh itu, guru-guru yang mengajar di sekolah yang mempunyai prestasi yang rendah disyorkan mengamalkan tingkah laku guru di sekolah berkesan antaranya memberi pengajaran kepada seluruh, sentiasa menetapkan matlamat yang minimum kepada semua pelajar iaitu semua murid boleh diajar dan akan berjaya dalam pelajaran, peruntukkan masa yang lebih kepada aktiviti pembelajaran, penilaian yang berterusan terhadap pembelajaran, menawarkan lebih banyak isi pelajaran, memberi persembahan yang jelas serta memberi jangkaan yang tinggi terhadap kejayaan murid.

Ulasan Artikel 4


SIKAP GURU PELATIH TERHADAP

PENGAJARAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS



Sila klik sini untuk pautan artikel (muka surat 1 hingga 13)


Pada tahun 2003, sistem pendidikan Negara kita telah mengalami satu anjakan paradigma dengan pengumuman dasar PPSMI iaitu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, faktor terpenting yang menentukan kejayaan sesuatu inovasi pendidikan ialah guru atau pendidik.
Guru ialah pelaksana pendidikan yang merancang, mengajar dan menilai pengajaran dan pembelajaran. Memandangkan peranan guru terhadap reformasi dan inovasi pendidikan adalah begitu tinggi, maka tentunya program pendidikan guru perlu dikemas kini supaya selaras dengan perubahan pesat dalam sistem pendidikan negara.
Antara empat permasalahan utama yang mungkin dihadapi oleh guru-guru tersebut ialah memahami serta menggunakan istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, menggunakan kosa kata Bahasa Inggeris, membentuk ayat untuk bertutur atau menulis dalam bahasa Inggeris serta dapat menyebut perkataan dengan betul.
Sehubungan itu, perbezaan keseluruhan aspek sikap antara kumpulan major Matematik dan minor Matematik terhadap pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris, secara keseluruhannya didapati sikap guru pelatih terhadap pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris adalah positif. Namun, sikap guru pelatih terhadap konsep kendiri terhadap sifat Matematik adalah pada tahap negatif. Jika dibandingkan sikap guru pelatih terhadap pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris berdasarkan pengkhususan, maka didapati bahawa guru pelatih berpengkhususan Matematik (major) bersikap lebih positif berbanding dengan guru pelatih yang mengambil Matematik sebagai mata pelajaran elektif (minor). Antara faktor penyebab permasalahan ini sentiasa berlaku kerana Matematik merupakan mata pelajaran elektif bagi kumpulan yang bukan berpengkhususan Matematik dan telah menjadi faktor yang menyebabkan mereka bersikap kurang positif berbanding dengan guru pelatih berpengkhususan Matematik. Justeru, mata pelajaran Matematik dianggap sebagai mata pelajaran sampingan sahaja dan tidak perlu diambil perhatian utama kerana lebih menumpukan mata pelajaran utama mengikut pengkhususan masing-masing.
Oleh itu, pihak Kementerian Pendidikan hendaklah sentiasa memberi perhatian dan membuat pemantauan terhadap keberkesanan pelaksanaan pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris di Maktab Perguruan dan semua sekolah. Pihak maktab perguruan hendaklah mengadakan kursus-kursus EteMs, Immersion Course, merancangkan program, bengkel, seminar untuk mendedahkan guru pelatih kepada konsep, pengetahuan, kemahiran pedagogi dan terminologi Matematik dalam Bahasa Inggeris supaya dapat menanamkan sikap positif terhadap pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih terutamanya guru pelatih berpengkhususan Matematik demi meningkatkan penguasaan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih.
Pensyarah Matematik maktab perguruan perlu mengeksploitasi dan meningkatkan lagi sikap positif guru pelatih terhadap Matematik terutamanya dari segi kepentingan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut

Sunday 27 May 2012

Ulasan Artikel 3

Etnomatematik Menambah Nilai Pendekatan Matematik

 Sila klik sini untuk pautan artikel

Artikel yang begitu kontroversi ini sangat menarik untuk dibincangkan memandangkan dari sinilah kita dapat mengetahui bagaiamana etnomatematik diperkenalkan di Malaysia.
Menurut Profesor Dr.Shaharir Mohamad Zain, pakar dalam fizik kuantum, dan juga memperoleh PhD dari La Trobe University ini, yang turut akrab dengan bidang etnomatematik mengatakan bahawa etnomatematik muncul bukan kerana kegagalan Matematik Moden tetapi atas kesedaran baru tentang pemupukan kenal diri dan keinsafan jati diri. Kurikulum matematik selama ini (termasuk menerusi Matematik Moden) itu dirasakan tidak mampu menyekat penghakisan kerendahan diri dan tidak berdaya untuk penguculan jiwa perhambaan bangsa-bangsa yang pernah dijajah, kerana pendidikan matematik selama ini sarat dengan pemusatan kehebatan penjajahnya sahaja, sedangkan tamadunnya sendiri terabai. Menurutnya lagi, Matematik moden yang diperkenalkan di Amerika Syarikat dipulau dan tidak berjaya dan akhirnya dimansuhkan kerana Matematik Moden itu tidak banyak boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Artikel ini turut menekankan bahawa Matematik itu sendiri adalah budaya. Maka adalah wajar jika kita membudayakan Matematik memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai budaya. Variasi budaya ini boleh mempelbagaikan unsur etnomatematik dan akan menambahkan minat para pelajar untuk mendalami subjek ini di samping dapat belajar tentang budaya masyarakat Malaysia secara tidak langsungnya.
Penekanan etnomatematik yang sepatutnya diajar dalam bahasa ibunda turut dinyatakan dalam artikel ini. Menurut beliau, tidak seharusnya kita mengagungkan bahasa tinggalan penjajah. Ini disokong oleh perakuan  PBB  sejak tahun 1960-an dahulu lagi, bahawa bahasa ibunda sangat penting sebagai ampangan ilmu dan pencetus ilmu yang potensi positifnya berbeza daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain yang masih belum dihargai sepenuhnya oleh para ahli pendidik seluruh dunia sama ada negara mundur ataupun negara membangun.