Sunday, 27 May 2012

Ulasan Artikel 3

Etnomatematik Menambah Nilai Pendekatan Matematik

 Sila klik sini untuk pautan artikel

Artikel yang begitu kontroversi ini sangat menarik untuk dibincangkan memandangkan dari sinilah kita dapat mengetahui bagaiamana etnomatematik diperkenalkan di Malaysia.
Menurut Profesor Dr.Shaharir Mohamad Zain, pakar dalam fizik kuantum, dan juga memperoleh PhD dari La Trobe University ini, yang turut akrab dengan bidang etnomatematik mengatakan bahawa etnomatematik muncul bukan kerana kegagalan Matematik Moden tetapi atas kesedaran baru tentang pemupukan kenal diri dan keinsafan jati diri. Kurikulum matematik selama ini (termasuk menerusi Matematik Moden) itu dirasakan tidak mampu menyekat penghakisan kerendahan diri dan tidak berdaya untuk penguculan jiwa perhambaan bangsa-bangsa yang pernah dijajah, kerana pendidikan matematik selama ini sarat dengan pemusatan kehebatan penjajahnya sahaja, sedangkan tamadunnya sendiri terabai. Menurutnya lagi, Matematik moden yang diperkenalkan di Amerika Syarikat dipulau dan tidak berjaya dan akhirnya dimansuhkan kerana Matematik Moden itu tidak banyak boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Artikel ini turut menekankan bahawa Matematik itu sendiri adalah budaya. Maka adalah wajar jika kita membudayakan Matematik memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai budaya. Variasi budaya ini boleh mempelbagaikan unsur etnomatematik dan akan menambahkan minat para pelajar untuk mendalami subjek ini di samping dapat belajar tentang budaya masyarakat Malaysia secara tidak langsungnya.
Penekanan etnomatematik yang sepatutnya diajar dalam bahasa ibunda turut dinyatakan dalam artikel ini. Menurut beliau, tidak seharusnya kita mengagungkan bahasa tinggalan penjajah. Ini disokong oleh perakuan  PBB  sejak tahun 1960-an dahulu lagi, bahawa bahasa ibunda sangat penting sebagai ampangan ilmu dan pencetus ilmu yang potensi positifnya berbeza daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain yang masih belum dihargai sepenuhnya oleh para ahli pendidik seluruh dunia sama ada negara mundur ataupun negara membangun.

Ulasan Artikel 2


Penggunaan Komputer Dan Internet 

Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Kalangan

Guru Sekolah Menengah Di Daerah Pasir Mas, Kelantan

  • Sila klik sini untuk pautan artikel

    Berdasarkan kepada artikel yang telah disediakan oleh Zainudin Bin Hassan & Muhamad Azam Bin Jaafar, telah terbukti bahawa penggunaan ICT memberi kesan yang positif terhadap pemahaman pelajar bagi subjek Matematik. Isu kemahiran guru-guru yang lebih senior dalam menggunakan aplikasi ICT sememangnya menjadi masalah yang boleh merencatkan pencapaian usaha murni KPM dalam meningkatkan mutu P&P para pelajar. Oleh itu, para guru senior ini seharusnya diberikan ilmu untuk menggunakan ICT.
    Selain itu, isu akses dan ekuiti ICT bagi pelajar luar bandar dan pendalaman yang diketengahkan dalam artikel ini juga mesti dititikberatkan jika mahu sistem P&P membuahkan hasil yang positif. Dapat dilihat kemunduran sesebuah negeri atau sesuatu kawasan itu akan menyebabkan sistem ini tidak dapat dijalankan dengan sepenuhnya. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seharusnya cuba sebaik mungkin untuk menutup jurang ini memandangkan potensi pelajar pintar yang mampu mencorak kepimpinan negara wujud di seluruh negara, dan tidak hanya dalam kalangan pelajar di bandar-bandar besar sahaja.
    Pada pandangan saya juga, kepentingan ICT ini turut perlu ditanamkan dalam kalangan ibu bapa supaya mereka seboleh mungkin cuba menyediakan prasarana ini di rumah. Ini kerana informasi kini hanya di hujung jari sahaja, dan pelajar boleh mencari apa jua maklumat berkenaan dengan subjek Matematik di dalam perkhidmnatan internet. Pemantauan mestilah dilakukan supaya para pelajar juga tidak menyalahgunakan ICT ini untuk perkara-perkara yang negatif.
     

Ulasan Artikel 1


Impak Pengajaran Sains dan Matematik dalam

Bahasa Inggeris ke atas Pelajar Sekolah Rendah

Jenis Kebangsaan Cina

  • Sila klik sini untuk pautan artikel 

    Artikel ini mengulas tentang isu PPSMI yang mulai dijalankan pada tahun 2003. Tentangan daripada pelbagai pihak telah disuarakan kerana pada pandangan mereka, dua subjek kritikal ini adalah lebih baik diajar dalam bahasa ibunda. Ini dibuktikan dengan keputusan pelajar yang merosot setelah program ini diperkenalkan.
    Menurut penulis, hanya sebilangan pelajar sahaja yang mendapat manfaat iaitu mencapai objektif Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu menguasai subjek Sains dan Matematik dalam BI dengan baik, iaitu pelajar yang cemerlang dalam penguasaan BI sahaja. Bagi pelajar yang lemah penguasaannya dalam BI, mereka telah tercicir dalam memahami subjek Sains dan Matematik. Ini menyebabkan kemerosotan pencapaian kedua-dua mata pelajaran itu.
    Penulis artikel ini dengan jelasnya memberitahu bahawa pelaksanaan PPSMI ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan itu sendiri. Walaupun objektifnya sangat murni, iaitu mengangkat tahap penguasaan BI bagi subjek Sains dam Matematik dalam kalangan pelajar supaya lebih berdaya saing apabila menjejakkan kaki di alam pekerjaan nanti, namun obejktif itu dianggap tidak tercapai.
    Pada pandangan saya, pihak KPM seharusnya mengkaji dengan lebih mendalam impak pelaksanaan PPSMI sebelum melaksanakannya. Perubahan demi perubahan yang dilakukan hanya menyebabkan para guru dan pelajar keliru dan menjadikan sistem lebih kucar kacir. Tidak seharusnya masa depan pelajar diperjudikan dengan eksperimen-eksperimen atau percubaan-percubaan sistem yang tidak kukuh dan longgar dari segi pelaksanaannya. Impak kepada guru, pelajar, masyarakat dan negara mestilah dikaji dengan mendalam sebelum sesuatu sistem diperkenalkan supaya tidak membebankan mereka dan juga KPM itu sendiri kerana terpaksa menanggung pelbagai aspek kerugian.